Kredit Pic : http://xxhighriskxx.blogspot.com |
Dikhabarkan nanti tokoh tersebut akan berkongsi rahsia
kejayaannya dalam membangun dan mengembangkan konglomeratnya yang ada sekarang,
dan pelbagai rahsia lainlah. Yang menarik, di bahagian komen begitu ramai
netizen yang menulis ketidakpuasan hati mereka berkenaan dakwaan pemikiran
‘kecil’ peniaga-peniaga melayu seperti yang disebut penulis, termasuk
mempersoalkan caj seminar yang begitu mahal.
Secara jujur saya faham kenapa ramai yang memberi reaksi
negatif. Di dalam industri, konglomerat ini lama diketahui umum bukanlah
mempunyai rekod prestasi kewangan yang baik pun. Tambahan lagi, kalau betul
hendak membantu bangsa sendiri membangunkan bisnes sehingga menjadi korporat
seperti yang diwarwarkan, kenapa meletakkan caj yang begitu mahal ?
Saya tiada niat untuk bercakap soal status prestasi kewangan
syarikat milik tokoh ini, apa ‘reasonableness’ tokoh tersebut mengadakan
seminar serta caj yang mahal (kalau title pun Tan Sri memang lah rate mahal
kot) sebab pada saya dan seperti diketahui umum penganjuran seminar itu sendiri
adalah satu bisnes. Jika ada permintaan di situ ada lah penawaran. Tidak salah
dan terpulang jika ada yang berminat untuk dengar rahsia-rahsia kejayaan yang
akan dikongsi (ada komen menyatakan seminar-seminar bisnes ini akan cakap benda
yang sama saja dan sekadar membuang duit, entahlah).
Apa yang menarik hati saya untuk menulis ialah kenyataan
bahawa sikap dan pemikiran peniaga-peniaga melayu yang kecil dan dikatakan
tidak berdaya saing.
Jika kita kembali kepada fitrah kita yang sebenar,
menjalankan perniagaan sebagai punca rezeki adalah ibadah. Makan gaji juga
ibadah. Berniaga adalah sunnah Rasulullah dan mengambil upah juga adalah sunnah
(Rasulullah pernah mengambil upah mengembala kambing semasa kecil – maaf saya
tidak dapat sertakan rujukan hadith di sini, kalau salah tolong betulkan). Jadi
makan gaji sebagai pekerja juga adalah satu ibadah yang mulia.
Sebagai seorang islam, ada adab-adab yang perlu dijaga
apabila kita menjalankan perniagaan supaya perniagaan kita diredhai Allah.
Etika dan sifat penting dalam menjaga adab-adab tersebut ialah adil (tidak
menindas), jujur, amanah, telus, mematuhi perjanjian, tiada unsur riba dan
haram, serta tiada unsur ragu-ragu atau ketidakpastian (menjauhi tipu daya)
dalam membuat transaksi. Inilah yang sentiasa dititikberatkan oleh peniaga
muslim yang betul-betul mengikut syiar islam. Banyak ujian yang bakal dihadapi
sepanjang menjalankan perniagaan. Jujurnya, pada saya matlamat seorang peniaga
muslim yang sejati bukanlah hendak mengembangkan syarikat hingga menjadi sebuah
korporat dan konglomerat yang besar tetapi apa yang penting perniagaan yang
dijalankan itu diterima sebagai amal kebajikan dan diredhai Tuhan. Ramai orang
berjaya dengan cara masing-masing, mengumpul harta yang banyak, membina empayar
bisnes yang besar tetapi itu cuma pencapaian di dunia semata-mata. Apa yang
diharapkan oleh peniaga-peniaga kecil melayu yang beragama islam ini sebenarnya
adalah barakah dan redha Tuhannya. Besar atau berkembang sesebuah bisnes itu
adalah nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan hampir pasti akan disusuli dengan
ujian-ujian yang bakal menguji keimanan setiap hambaNya.
Saya tabik dengan adik-adik penjual burger yang mungkin
pencapaian akademik tak seberapa kerana itulah sahaja kemampuan mereka. Saya
rasa rendah diri bila terpandang pemungut sampah bekerja di awal pagi memungut
sampah di kejiranan, dan saya hormat pakcik penjual goreng pisang dan air tepi
jalan. Nak cerita, di tempat saya tinggal semasa zaman saya bersekolah dulu
tahun 1980an dan 90an, saya selalu membeli goreng pisang seorang pakcik ni.
Bersama isterinya, dia jual goreng pisang dan air di tepi jalan tempat bas
menurunkan penumpang. Hari ini, dia masih menjual goreng pisang dan air di situ
di tempat yang sama cuma yang berbeza dia sekarang sudah punya van, dahulu cuma
sebuah kereta Nissan lama. Pakcik dan makcik ni pun kelihatan sudah dimamah
usia dan selayaknya berehat sahaja. Kadang-kadang ada anak-anak mereka datang
membantu. Disebalik wajah yang dimamah usia, dari raut wajah mereka menzahirkan
kepuasan dan berlapang dada dengan rezeki yang diberi Allah.
Bukan saya menentang pemikiran bisnes berinovasi serta
bisnes bermatlamat global malah ia sangat-sangat membantu ekonomi negara.
Tetapi yang saya suka tekankan adalah kita semua ada pilihan masing-masing.
Kita juga ada cabaran masing-masing yang hanya kita dan Allah sang Maha
Pencipta sahaja yang tahu. Samada berniaga kecil-kecilan sahaja atau mahu
membawa bisnes ke tahap yang lebih berdaya saing juga adalah keputusan kita
sendiri. Mahu makan gaji hingga umur 60 juga keputusan kita sendiri. Tetapi
untuk membuat perbandingan dan melabel bangsa sendiri lemah adalah sesuatu yang
tidak wajar. Saya yakin mungkin penulis tiada niat untuk merendah-rendahkan
bangsanya sendiri cuma diharap beliau akan lebih berhati-hati bila menghasilkan
content marketing nya di masa yang akan datang.
Pada sesiapa yang berminat mengikuti seminar tersebut, saya
alu-alukan dan teruskanlah niat anda demi menimba ilmu. Yang penting, pastikan
apa yang ditawar/ dijanjikan itu akan ditunaikan oleh penganjur sesuai dengan
harga yang dibayar !