Kemahiran insaniah atau di dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'soft skill'....ermm apakah kemahiran insaniah ni ?
(photo credit : Idiva.com) |
Kemahiran insaniah adalah istilah sosiologi berhubung EQ
(Emotional Intelligence Quotient) seseorang individu, berkaitan ciri atau sifat
personalitinya, kemahirannya bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis
atau bertutur, kebiasaan atau tabiat yang positif, suka bergaul dan optimis
dalam kehidupan serta lingkungan sosialnya (Dr. Anwar Ridhwan, 2013).
Mengikut satu kajian rawak ke atas pengambilan pelajar baru di institusi pengajian awam di negara ini, hanya segelintir pelajar sahaja yang dilihat mempunyai kemahiran insaniah yang berkembang sewaktu mereka mula melangkah ke institusi pengajian tinggi. Majoriti yang lain kurang kemahiran bersosial, hanya bergaul dalam kelompok
kecil. Mereka juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik, termasuk tidak dapat
menuturkan atau menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang gramatis, jelas
dan berkesan.
Untuk memperkatakan tentang kemahiran insaniah ini, skopnya adalah luas. Cuba lihat pada anak2 kita, adakah kita melihat adanya perkembangan kemahiran insaniah mereka secara teratur ? Sepatutnya kemahiran ini haruslah dibentuk dan dipupuk sejak dari tadika lagi sehingga lah mereka memasuki menara gading. Apabila mereka mula melangkah kaki ke dunia pekerjaan maka mereka telah disiapkan mental dan fizikal untuk berdepan dengan persaingan di peringkat domestik serta antarabangsa. Generasi inilah yang kita harapkan bakal mendokong dan memakmurkan negara selaras dengan matlamat negara mencapai status negara maju 2020.
Maka sebab itulah sekarang kita mendengar sistem pendidikan negara telah diperbaharui dan ditokoktambah dengan adanya KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) dan pentaksiran berasaskan sekolah yang tidak lagi memberikan tumpuan kepada peperiksaan semata2. Tapi setakat kemahiran berfikir sahaja tidak mencukupi, kemahiran lain juga patut dititikberatkan seperti kemahiran komunikasi/ interaksi, kaedah berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara
berkesan, bekerjasama secara membina, menempuh proses pembelajaran penuh
semangat, dan menjalani kehidupan beretika.
Di rumah pula kita sebagai ibubapa harus peka dalam memastikan perkembangan insaniah anak2 dapat dibentuk agar mereka lebih berdikari, banyak membuat rujukan dan mahir bertanya secara konstruktif, bijak
bergaul, mahir berkomunikasi baik di kalangan ahli keluarga, guru2 dan rakan2 di sekolah serta berkemahiran menyampaikan maklumat dan tugasan dengan baik dan berkesan...in shaa Allah.
Rujukan :
- Berita Harian. Dr Anwar Ridhwan. "Pelajar Kita Masih Tumpul Kemahiran Insaniah". 16 Julai 2013.